Monday, December 31, 2007

Jujur: Adakah Itu Aku, Kamu, Kome/Mike?

Suatu petang aku meluangkan masa aku bersama Tok Wan, berbual-bual sambil minum kopi pekat hitam berkilat sambil menunggu masuk waktu Asar. Dalam bebanyak topic semasa yang kami berbincang, entah macam mana... kami berbincang berkenaan kejujuran dan keikhlasan melakukan sesuatu perkara dalam kehidupan seharian kita.

Tok Wan: Kita hidup dalam dunia ni kena jujur, tapi kena tahu dimana hendak digunakan jujur kita ni.

Aku : Macam mana tu Tok? (Saja aku naikkan mood Tok Wan Aku untuk bercerita)

Tok Wan: Jujur kita ni macam besi, jika lurus orang akan gunakan untuk buat titi (jambatan),
kalau bengkok? (Tok Wan aku pulak psiko aku balik)

Aku : Kalau bengkok...ermmmmmmmm (Terkebil-kebil aku nak cari jawapan sesuai)

Tok Wan: Kalau bengkok orang buat tanggi.

Aku : Tanggi? Apa benda tu tok? (Perkataan Melayu klasik agaknya)

Tok Wan: (tersenyum) Tanggi tu besi yang ada pada hidung kerbau untuk diikat tali.

Aku : Habis tu tok, kita nak jadi besi yang mana satu? (sambil garu-garu dahi)

Tok Wan: Jadi lah besi keris...(ringkas je jawapannya), lurus tetapi ada lok-lok.

Tok Wan aku biarkan aku berfikir sendiri tentang jawapan akhirnya tadi....Dan oleh kerana tajuk aku hari ni jujur, Aku nak berkongsi sebuah karangan budak sekolah UPSR tahun 2007 yang pada aku budak sekolah ni jujur tetapi terpulanglah pada kome (anda) nak ketegorikan budak sekolah ni besi yang mana satu.



Wednesday, December 19, 2007

Pencuri Anggur

Anggur (grapes) Merah, Carrefour Seksyen 5, Wangsa maju.

Menambun longgokkan anggur merah dengan harga tawaran harga RM10.99/kg pada hujung minggu 15 Disember 2007 di Carrefour Seksyen 5, Wangsa Maju. Tiada niatpun awalnya nak beli anggur ni, tapi bila dah lalu kat depan longgokkan anggur-anggur ni tadi, terasa teringin pulak. Terus aku cari beg plastik berhampiran pilih mana yang elok dalam sekilo untuk aku makan sekeluarga.

Teringat masa bebudak dulu (antara tahun 1980 - 1988) di kampung, pada keluarga aku, buah anggur merah ni adalah buah-buahan orang kaya-kaya. Kalau pergi ke pasar sehari di Kg. Koh, Sitiawan, Perak (Hari Khamis 12.00 tghr - 6.00 ptg) aku hanya dapat memandang sahaja buah orang kaya ni yang dijual oleh peniaga-peniaga Cina pada waktu itu. Seingat aku, aku tak pernah minta dibelikan pun pada arwah abah aku atau mak aku, walaupun aku teringin sangat nak rasa buah-buahan orang kaya ni. Mungkin kami anak-anak faham arwah abah aku hanyalah seorang buruh JPT: Jabatan Parit dan Taliair (sekarang JPS: Jabatan Parit dan Saliran) yang berpendapatan hanya RM404.00 sebulan untuk menyara anak 4 orang. Banyak barangan keperluan lain yang lebih asas perlu diutamakan.

Kalau nak dapat rasa / makan buah anggur merah ni pun kena tunggu kalau-kalau sedara- mara nak kahwin baru dapat rasa. Selalunya buah-buahan anggur merah ni orang buat hantaran bertunang ke ataupun jamuan makan tegahari untuk pengantin. Kami bebudak ni kena tunggu pengantin dah habis makan baru dibahagi-bahagikan sama rata kepada adik beradik sepupu-sepapat semua. Dapatlah 3 biji seorang (kebiasaannya). itupun dah cukup gembira sakan dan makan pun gigit sikit-sikit, sayang.... punyalah tinggi nilainya sebiji anggur merah pada waktu tu.

Tapi ceritanya kat sini bukan cerita masa aku bebudak dulu tu, tapi ceritanya masa aku memilih anggur-anggur merah untuk ditimbang di Carrefour ni tadi. Sedang aku teringat kisah masa bebudak aku dulu sambil memilih anggur ni tadi, datanglah satu kakak dengan berbaju kurung berbunga ceria dan bertudung kemas (gaya macam orang yang berkarier besar) singgah sebelah aku lalu memetik anggur-anggur ni sebiji dua masuk dalam mulut dan terus berlalu. Mungkin tak cukup manis kot kata hati aku, tu sebab akak tadi tu tak jadi beli.

Kemudian datang pulak 3 orang perempuan (macam bebudak kolej) singgah terus memetik dan makan beramai-ramai kat depan tu....aku jeling sikit kat diorang, takde pulak pegang beg plastik nak beli pun. lepas tu diorang terus hilang kemana ntah. Ishkk...tak sedap kot anggur ni kata hati aku lagi, nak juga aku rasa sebiji dulu, sebelum timbang, memang masam dan tak sedap ke anggur-anggur ni?...tapi aku tahan kan niat aku tersebut dan terus sambung memilih anggur-anggur ni tadi.

Yang paling best, ada satu couple melayu ni (belum kahwin lagi rasanya) berpegang tangan lalu kat depan longgokan anggur ni tadi, terus tanpa segan silu mencapai buah-buah anggur ni terus makan sebiji dua dan terus aje berlalu macam gitu sahaja. Ahhhh...aku tersalah baca ke tanda harga yang dipaparkan. Aku undur ke belakang sikit tengok lagi sekali tanda harga, betul tertulis RM10.99/kg, takde pulak aku nampak tanda "Dibenarkan rasa sebiji dua dahulu sebelum beli". Aku terus aje timbang anggur yang aku pilih tadi terus pergi bayar lepas tu.

Aku ni bukanlah orang ustaz-ustaz ke atau imam-imam masjid ke apa. Tapi pada pandangan aku dalam kes anggur merah ni, ada 2 perkara yang perlu dinilaikan:


  1. Niat asal kita memang nak beli anggur ni tapi nak pastikan dulu ianya menepati citarasa, kita dibenarkan mencuba sebiji dua dahulu dengan kebenaran penjual. Itu aku boleh terima lagi (contohnya penjual rambutan atau buah mata kucing kat pasar malam), tapi jika kes kat Carrefour ni yang tiada penjaganya kita mencuba tanpa kebenaran, tidak kah itu dinamakan Pencuri Anggur?

  2. Keduanya, kita tidak berniat pun nak beli anggur ni tadi, tapi saja buat-buat macam nak beli tapi mencuba rasa dengan kebenaran penjual. Ini aku kata menipu penjual anggur. Tapi dalam kes Carrefour ni, tiada niat membeli kemudian mencuba rasa tanpa kebenaran penjual, tidak kah itu Penipu aka Pencuri Anggur?

Pada aku makanan yang datangnya dari sumber yang tidak halal ini akan menghitamkan hati, bila hati kita hitam akan menjauhkan kita dari suruhan dan tuntutan agama Islam dan mendekat kita dengan syaitan. Mungkin kita tak rasa apa-apa lagi sekarang akibat perbuatan kita, tapi benda-benda kecil macam ini lah yang akan menyusahkan kita bila di akhirat nanti. semua perkara tersebut akan disoal dan bagaimana kita hendak meminta maaf pada tokey Carrefour tu nanti bila kita dikumpulkan di padang mahsyar nanti. Kalau diberi peluang pada kita yang hidup lagi ni untuk minta maaf pada taukey Carrefour yang masih hidup ni pun belum tentu kita dapat berbuat demikian tambahkan lagi bila di akhirat nanti.


Thursday, December 6, 2007

Nilai Sebuah Senyuman Seorang Ibu - Kisah Uwais Al-Qarni

Cucuanda (anak aku) Bersama Nenekanda (mak aku)
Putrajaya 24 November 2007


Nabi berpesan kepada Umar dan Ali, “Akan lahir dikalangan Tabiin seorang insan yang doa dia sangat makbul nama dia Uwais al-Qarni dan dia akan lahir dizaman kamu”.Kita telah mengenali siapa dia Sayyidina Umar dan Sayyidina Ali iaitu orang-orangyang telah disenaraikan sebagai “al-Mubasyirun bil Jannah” iaitu mereka dah dijamin masuk syurga.

Nabi seterusnya berkata kepada Umar dan Ali, “Dizaman kamu nanti akan lahir seorang insan yang doa dia sangat makbul. Kamu berdua pergilah cari dia. Dia akan datang dari arah Yaman, dia dbesarkan di Yaman. Dia akan muncul dizaman kamu, carilah dia. Kalau berjumpa dengan dia mintak tolong dia berdoa untuk kamu berdua.” , Umar dan Ali bertanya kepada nabi soalan yang sama iaitu “Apakah yang patut saya mintak daripada Uwais al-Qarni, Ya Rasulullah? Nabi menjawab “Kamu mintak kepadanya supaya dia berdoa kepada Allah agar Allah ampunkan dosa-dosa kalian”.

Banyak peristiwa sahabat yang berjumpa dengan nabi, mintak sesuatu yang baik kepada mereka, nabi menjawab “Pohonlah al-Maghfirah daripada Allah swt.” Jadi topik al-Maghfirah (keampunan) ini menjadi topik yang begitu dicari yang begitu relevan, hatta kepada orang yang telah disenaraikan sebagai ahli syurga. Kalau logiknya ahli syurga macam dah tak perlu kepada ampun dosa kerana mereka dah dijamin masuk syurga, tetapi tidak, nabi masih tekankan supaya mintak Allah ampunkan dosa.

Memang benarlah firasat seorang nabi, Uwais al-Qarni telah muncul di zaman Sayyidina Umar dan Sayyidina Ali. Memang mereka tunggu dan cari kabilah-kabilah yang datang dari Yaman ke Madinah, akhirnya bertemu mereka dengan Uwais al-Qarni. Dengan pandangan mata luar, tidak mungkin dia orang yang nabi maksudkan. Kerana orang itu pada pandangan insan-insan biasa atau orang-orang yang datang bersama dengannya bersama kabilah menganggapkan dia seorang yang akal tidak sempurna (wire short), sesuatu yang macam tidak betul pada pandangan orang. Tetapi dia ada sesuatu….

Siapakah Uwais Al-Qarni

Dia asalnya berpenyakit sopak, badannya putih, putih penyakit yang tidak digemari. Walaupun dia sopak tetapi dia seorang yang soleh, terlalu mengambil berat tentang ibunya yang uzur dan lumpuh. Dia telah begitu tekun untuk mendapatkan keredhaan ibunya. Bapa dia meninggal dunia ketika dia masih kecil lagi. Dia sopak sejak dilahirkan dan ibunya menjaga dia sampai dia dewasa.

Satu hari ibunya memberitahu kepada Uwais bahawa dia ingin sangat untuk pergi mengerjakan haji. Dia menyuruh Uwais supaya mengikhtiarkan dan mengusahakan agar dia dapat dibawa ke Mekah untuk menunaikan haji. Sebagai seorang yang miskin, Uwais tidak berdaya untuk mencari perbelanjaan untuk ibunya kerana pada zaman itu kebanyakan orang untuk pergi haji dari Yaman ke Mekah mereka menyediakan beberapa ekor unta yang dipasang diatasnya “Haudat”. Haudat ini seperti rumah kecil yang diletakkan di atas unta untuk melindungi panas matahari dan hujan, selesa dan perbelanjaannya mahal. Uwais tidak mampu untuk menyediakan yang demikian, unta pun dia tidak ada, nak sewa pun tidak mampu. Ibu Uwais semakin uzur maka ibunya mendesak dan berkata kepada anaknya “Anakku mungkin ibu dah tak lama lagi akan bersama dengan kamu, ikhtiarkanlah agar ibu dapat mengerjakan haji”.

Uwais mendapat suatu ilham, dia terfikir apa nak dibuat. Dia membeli seekor anak lembu yang baru lahir dan dah habis menyusu. Dia membuat sebuah rumah kecil (pondok) di atas sebuah “Tilal” iaitu sebuah tanah tinggi (Dia buat rumah untuk lembu itu di atas bukit). Apa yang dia lakukan, pada petang hari dia dukung anak lembu untuk naik ke atas “Tilal”. Pagi esoknya dia dukung lembu itu turun dari “Tilal” untuk diberi makan. Itulah yang dilakukannya setiap hari. Ada ketikanya dia mendukung lembu itu mengelilingi bukit tempat dia beri lembu itu makan.

Perbuatan yang dilakukannya ini menyebabkan orang kata dia ini gila. Memang pelik, buatkan rumah untuk lembu diatas bukit, kemudian setiap hari usung lembu, petang bawa naik, pagi bawa turun bukit. Tetapi sebenarnya niatnya baik. Kalau lembu kita buat begitu pagi sekali petang sekali daripada lembu yang beratnya 20kg, selepas enam bulan lembu itu sudah menjadi 100kg. Otot-otot (muscle) tangan dan badan Uwais menjadi kuat hinggakan dengan mudah mengangkat lembu seberat 100kg turun dan naik bukit.

Selepas lapan bulan dia buat demikian telah sampai musim haji, rupa-rupanya perbuatannya itu adalah satu persediaan untuk dia membawa ibunya mengerjakan haji. Dia telah memangku ibunya dari Yaman sampai ke Mekkah dengan kedua tangannya. Dibelakangnya dia meletakkan barang-barang keperluan seperti air, roti dan sebagainya. Lembu yang beratnya 100kg boleh didukung dan dipangku inikan pula ibunya yang berat sekitar 50kg. Dia membawa (mendukung dan memangku) ibunya dengan kedua tangannya dari Yaman ke Mekah, mengerjakan Tawaf, Saie dan di Padang Arafah dengan senang sahaja. Dan dia juga memangku ibunya dengan kedua tangannya pulang semula ke Yaman dari Mekah.

Setelah pulang semula ke rumah dia di Yaman, Ibu dia berkata kepada dia “ Uwais,apa yang kamu berdoa sepanjang kamu berada di Mekah?”. Uwais menjawab “Saya berdoa minta supaya Allah mengampunkan semua dosa-dosa ibu”. Ibunya bertanya lagi “Bagaimana pula dengan dosa kamu”. Uwais menjawab “Dengan terampun dosa ibu, ibu akan masuk syurga, cukuplah ibu redha dengan saya maka saya juga masuk syurga”.

Ibunya berkata lagi “Ibu nak supaya engkau berdoa agar Allah hilangkan sakit putih (sopak) kamu ini”. Uwais kata “Saya keberatan untuk berdoa kerana ini Allah yang jadikan. Kalau tidak redha dengan kejadian Allah, macam saya tidak bersyukur dengan Allah ta’ala”. Ibunya menanbah “Kalau nak masuk syurga, kena taat kepada perintah ibu, Ibu perintahkan engkau berdoa”. Akhirnya Uwais tidak ada pilihan melainkan mengangkat tangan dan berdoa. Uwais berdoa seperti yang ibu dia minta supaya Allah sembuhkan putih yang luar biasa (sopak) yang dihidapinya itu. Tetapi kerana dia takut masih ada dosa pada dirinya dia berdoa “Tolonglah Ya Allah kerana ibu aku suruh aku berdoa hilangkan yang putih pada badanku ini melainkan tinggalkan sedikit” Allah swt. sembuhkan serta merta, hilang putih sopak diseluruh badannya kecuali tinggal satu tompok sebesar duit syiling ditengkuknya.

Tanda tompok putih pada Uwais sebab dia mintak agar jangan dibuang kesemuanya, kerana ini (sopak) adalah anugerah, maka nabi sebut kepada Umar dan Ali akan tanda ini. Tandanya kamu nampak dibelakang dia ada satu bulatan putih, bulatan sopak. Kalau berjumpa dengan tanda itu dialah Uwais al-Qarni. Selepas tidak lama Uwais berdoa yang demikian, ibunya telah meninggal dunia. Dia telah menunaikan kesemua permintaan ibunya. Selepas itu dia telah menjadi orang yang paling tinggi martabatnya disisi Allah.

Berbalik kita kepada point asal, Sayidina Umar dan Sayidina Ali dapat berjumpa dengan Uwais ini minta satu sahaja iaitu minta supaya doakan supaya Allah swt. mengampun semua dosa-dosa mereka. Ketika Uwais al-Qarni berjumpa Umar dan Ali, dia berkata “Aku datang ini dari Yaman ke Madinah kerana aku nak tunaikan wasiat nabi kepada kamu iaitu supaya kamu berdua berjumpa dengan aku. Aku datang ini nak tunaikan wasiat itulah”. Maka Uwais pun telah mendoakan untuk mereka berdua.

*Dipetik daripada Tazkirah Oleh Tuan Guru Dato' Dr. Haron Din