Wednesday, December 19, 2007

Pencuri Anggur

Anggur (grapes) Merah, Carrefour Seksyen 5, Wangsa maju.

Menambun longgokkan anggur merah dengan harga tawaran harga RM10.99/kg pada hujung minggu 15 Disember 2007 di Carrefour Seksyen 5, Wangsa Maju. Tiada niatpun awalnya nak beli anggur ni, tapi bila dah lalu kat depan longgokkan anggur-anggur ni tadi, terasa teringin pulak. Terus aku cari beg plastik berhampiran pilih mana yang elok dalam sekilo untuk aku makan sekeluarga.

Teringat masa bebudak dulu (antara tahun 1980 - 1988) di kampung, pada keluarga aku, buah anggur merah ni adalah buah-buahan orang kaya-kaya. Kalau pergi ke pasar sehari di Kg. Koh, Sitiawan, Perak (Hari Khamis 12.00 tghr - 6.00 ptg) aku hanya dapat memandang sahaja buah orang kaya ni yang dijual oleh peniaga-peniaga Cina pada waktu itu. Seingat aku, aku tak pernah minta dibelikan pun pada arwah abah aku atau mak aku, walaupun aku teringin sangat nak rasa buah-buahan orang kaya ni. Mungkin kami anak-anak faham arwah abah aku hanyalah seorang buruh JPT: Jabatan Parit dan Taliair (sekarang JPS: Jabatan Parit dan Saliran) yang berpendapatan hanya RM404.00 sebulan untuk menyara anak 4 orang. Banyak barangan keperluan lain yang lebih asas perlu diutamakan.

Kalau nak dapat rasa / makan buah anggur merah ni pun kena tunggu kalau-kalau sedara- mara nak kahwin baru dapat rasa. Selalunya buah-buahan anggur merah ni orang buat hantaran bertunang ke ataupun jamuan makan tegahari untuk pengantin. Kami bebudak ni kena tunggu pengantin dah habis makan baru dibahagi-bahagikan sama rata kepada adik beradik sepupu-sepapat semua. Dapatlah 3 biji seorang (kebiasaannya). itupun dah cukup gembira sakan dan makan pun gigit sikit-sikit, sayang.... punyalah tinggi nilainya sebiji anggur merah pada waktu tu.

Tapi ceritanya kat sini bukan cerita masa aku bebudak dulu tu, tapi ceritanya masa aku memilih anggur-anggur merah untuk ditimbang di Carrefour ni tadi. Sedang aku teringat kisah masa bebudak aku dulu sambil memilih anggur ni tadi, datanglah satu kakak dengan berbaju kurung berbunga ceria dan bertudung kemas (gaya macam orang yang berkarier besar) singgah sebelah aku lalu memetik anggur-anggur ni sebiji dua masuk dalam mulut dan terus berlalu. Mungkin tak cukup manis kot kata hati aku, tu sebab akak tadi tu tak jadi beli.

Kemudian datang pulak 3 orang perempuan (macam bebudak kolej) singgah terus memetik dan makan beramai-ramai kat depan tu....aku jeling sikit kat diorang, takde pulak pegang beg plastik nak beli pun. lepas tu diorang terus hilang kemana ntah. Ishkk...tak sedap kot anggur ni kata hati aku lagi, nak juga aku rasa sebiji dulu, sebelum timbang, memang masam dan tak sedap ke anggur-anggur ni?...tapi aku tahan kan niat aku tersebut dan terus sambung memilih anggur-anggur ni tadi.

Yang paling best, ada satu couple melayu ni (belum kahwin lagi rasanya) berpegang tangan lalu kat depan longgokan anggur ni tadi, terus tanpa segan silu mencapai buah-buah anggur ni terus makan sebiji dua dan terus aje berlalu macam gitu sahaja. Ahhhh...aku tersalah baca ke tanda harga yang dipaparkan. Aku undur ke belakang sikit tengok lagi sekali tanda harga, betul tertulis RM10.99/kg, takde pulak aku nampak tanda "Dibenarkan rasa sebiji dua dahulu sebelum beli". Aku terus aje timbang anggur yang aku pilih tadi terus pergi bayar lepas tu.

Aku ni bukanlah orang ustaz-ustaz ke atau imam-imam masjid ke apa. Tapi pada pandangan aku dalam kes anggur merah ni, ada 2 perkara yang perlu dinilaikan:


  1. Niat asal kita memang nak beli anggur ni tapi nak pastikan dulu ianya menepati citarasa, kita dibenarkan mencuba sebiji dua dahulu dengan kebenaran penjual. Itu aku boleh terima lagi (contohnya penjual rambutan atau buah mata kucing kat pasar malam), tapi jika kes kat Carrefour ni yang tiada penjaganya kita mencuba tanpa kebenaran, tidak kah itu dinamakan Pencuri Anggur?

  2. Keduanya, kita tidak berniat pun nak beli anggur ni tadi, tapi saja buat-buat macam nak beli tapi mencuba rasa dengan kebenaran penjual. Ini aku kata menipu penjual anggur. Tapi dalam kes Carrefour ni, tiada niat membeli kemudian mencuba rasa tanpa kebenaran penjual, tidak kah itu Penipu aka Pencuri Anggur?

Pada aku makanan yang datangnya dari sumber yang tidak halal ini akan menghitamkan hati, bila hati kita hitam akan menjauhkan kita dari suruhan dan tuntutan agama Islam dan mendekat kita dengan syaitan. Mungkin kita tak rasa apa-apa lagi sekarang akibat perbuatan kita, tapi benda-benda kecil macam ini lah yang akan menyusahkan kita bila di akhirat nanti. semua perkara tersebut akan disoal dan bagaimana kita hendak meminta maaf pada tokey Carrefour tu nanti bila kita dikumpulkan di padang mahsyar nanti. Kalau diberi peluang pada kita yang hidup lagi ni untuk minta maaf pada taukey Carrefour yang masih hidup ni pun belum tentu kita dapat berbuat demikian tambahkan lagi bila di akhirat nanti.


3 comments:

Anonymous said...

saya tak berapa suka buah anggur sangat la bang!

Mohd. Suhairi Bin Saad Ali said...

Untuk "depa panggil saya eni", Saya bukan tanya tetamu saya suka makan anggur ke tak? (Saya ingat saya BM - 7 diketegori lemah bahasa, rupanya yang dapat credit BM lagi huru-hara punya lemah tak ingat)

Anonymous said...

yer la..tapi itu sekadar ayat penyata saya jer..tak baik tau!!!